Sunday, November 8, 2009

Terus Melebar

Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my

KEINGINAN Raihan untuk menjayakan Konsert Eid Celebration di Leicester Hall, London pada 24 September lalu tidak kesampaian. Gara-gara dikejutkan dengan isu anti Islam dengan slogan ‘Stop Islamisation Of Europe (SIOE)’ oleh penduduk di sana, hajat mereka terpaksa dibatalkan.

Bagaimanapun, kesulitan berkenaan bagai sudah menjadi rencah dalam perjalanan seni mereka. Meskipun sedikit kecewa, namun ia tidak mematahkan semangat Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim, Zulfadli Mustaza dan Amran Ibrahim untuk terus meneroka ruang pasaran luar negara.

Menurut Che Amran, sebaik dimaklumkan mengenai penangguhan konsert, mereka agak kecewa lebih-lebih lagi sudah membuat persediaan untuk menghiburkan penonton di sana.

“Kami giat mengadakan latihan demi memastikan persembahan untuk tiga malam berturut-turut itu berlangsung dengan lancar. Tetapi, tidak sangka ia terpaksa ditangguhkan tiba-tiba atas sebab pakatan demonstrasi anti-Islam.

“Entah sampai bila kami pun tidak tahu. Mungkin perbincangan akan diadakan kembali apabila keadaan di sana reda,” katanya.

Walaupun tidak berpeluang ke London, Raihan masih gah mengukuhkan nama di persada antarabangsa. Penghujung bulan lalu, Raihan berpeluang menjejakkan kaki di benua Amerika Selatan iaitu Trinidad dan Tobago (TNT).

Meskipun ia menjadi kunjungan kedua mereka ke sana, berpeluang mengadakan persembahan selama tiga hari sempena Aidilfitri dan Aidiladha peringkat kebangsaan negara itu sudah cukup untuk mereka mengubat hati mengadakan persembahan di luar negara.

“Alhamdulillah, mungkin rezeki kami selepas persembahan di London tidak kesampaian. Terima kasih kepada Air Asia kerana menaja penerbangan kami ke sana manakala perjalanan dari London ke Port of Spain pula ditaja organisasi badan pertubuhan bebas dari TNT.

“Selain itu, konsert kami pula dianjurkan oleh Anjuman Sunnah Jamaat Association (ASJA), San Fernando, Trinidad. Jika di sana, ASJA cukup terkenal kerana ia adalah badan induk warga Muslim yang aktif menyampaikan dakwah,” katanya.

Tambah Che Amran, berdasarkan sambutan lalu, Raihan membuka lembaran baru bagi dunia hiburan Islam di benua Amerika Selatan yang terkenal dengan hiburan samba. Ironinya, kami diterima baik oleh semua lapisan masyarakat di sana.

“Lagu-lagu Raihan turut dihafal oleh mereka yang majoritinya berbahasa Inggeris. Walaupun mereka tidak memahami sebahagian lagu berkenaan namun ia tidak menjadi halangan untuk mereka menghafal lagu kami.

“Namun, terdapat juga lagu kami yang pelbagai bahasa seperti Inggeris dan Arab malah ia juga menjadi daya penarik masyarakat setempat untuk menghayati mesej yang terkandung di dalam lagu itu.

“Alhamdulillah atas penerimaan mereka. Tambah terharu, duta besar Amerika Syarikat juga terhibur dengan persembahan kami di sana. Malah, dia turut mengagumi kejayaan kami yang berjaya menjelajah ke seluruh dunia merentasi enam benua sepanjang 13 tahun menjadi artis nasyid antarabangsa,” katanya.

Tambah mengagumkan, Raihan seakan-akan satu ikon Islamik yang menjadi kebanggaan penduduk negara itu. Mereka juga sudah membuktikan dakwah melalui muzik berjaya menarik minat pelbagai golongan untuk mengenali Islam dengan lebih dekat.

Selain itu, ramai juga tidak tahu mengenai produk terbaru Raihan dalam bidang animasi. Menjalinkan kerjasama dengan Saba Islamic Media (SIM), komik dan VCD animasi Raihan berjudul Raihan Rangerz sudah pun berada di pasaran.

“Menggabungkan idea dari kami dan kepakaran dimiliki SIM, akhirnya Raihan tampil dengan satu konsep baru. Kini, kami lebih dekat dengan anak kecil yang menyukai dunia kartun.

“Selain dapat menghiburkan kanak-kanak, misi kami untuk terus berdakwah juga tercapai. Malah, dakwah secara halus ini lebih mudah untuk diterima anak kecil.

“Sebab itu, kami tampil dengan komik dan VCD ini. Menceritakan mengenai empat anggota Raihan, Raihan Rangerz seakan-akan siri animasi Power Rangers. Bagaimanapun, ia adalah hasil idea kami sendiri dan tidak meniru mana-mana pihak,” katanya.

1 comments:

onthespot said...

yeah... go go raihan rangerz...bile nak lepak???

Post a Comment

RAIHAN FRIENDS © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates