Thursday, March 25, 2010

PELANCARAN MELAKA HALAL HUB DAN KONSERT HPA RAIHAN


Sumber: HPA Industries

Assalamualaikum..
Makluman dan hebahan


Majlis Pelancaran Produk Melaka Halal Hub dan konsert Nasyid Raihan:


Tarikh : 29hb Mac 2010 (Isnin)
Tempat : Melaka Halal Hub, Serkam dan Dewan Bistari, Ayer Keroh.
Masa : 10.00 pg dan 8.00 mlm.


Tetamu Kehormat :

1. YB Datuk Hj. Md Yunos bin Husin
2. YB Ir. Hj. Ismail bin Othman
3. YB Datuk Wira Hj Ahmad bin Hamzah
4. YB Datuk Hj Dhazale bin Mohamad
5. Tn. Hj. Ismail bin Ahmad.

Semoga kedatangan anda dapat mengimarahkan lagi majlis tersebut dan menyokong perkembangan kita…

Sekian dimaklumkan…

Program di Negeri Cik Siti Wan Kembang

Kini, HPA Raihan berada di Kelantan bersama keluarga besar HPA. Pada 27 Mac 2010, Raihan akan membuat persembahan dalam Konsert Jom Heboh TV3 yang julung-julung kalinya diadakan di negeri tersebut. Selain Raihan, konsert itu juga turut diserikan dengan persempahan daripada Jay Jay, Jamal Abdillah dan Megat Nordin.

Selain itu, pada 28 Mac 2010 pula, Raihan akan berada di beberapa lokasi iaitu di salah sebuah stesen radio tempatan kemudian di Pasaraya Mydin dan akan bergerak pula ke KB Mall. Jumpa kami di sana!



Wednesday, March 24, 2010

Berkat sabar, jujur dalam berkarya

Sumber: Berita Harian

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
2010/03/23



Usia Raihan dalam dunia seni menjangkau lebih sedekad

UNTUK bertahan selama 14 tahun dalam industri muzik nasyid bukanlah usaha yang mudah. Jika tidak disertakan dengan kesungguhan serta keikhlasan dalam perjuangan, tentunya langkah tidak akan panjang dan jangka hayat karier juga mungkin kekal setahun atau dua saja.


Namun kumpulan Raihan membuktikan, berkat kesabaran dan kejujuran dalam berkarya serta menyampaikan pesanan berguna kepada masyarakat, disokong pula dengan lagu yang dekat di hati peminat, tempoh kewujudan mereka sebagai kumpulan nasyid di negara ini mampu menjangkau usia lebih sedekad.


Dan, langkah berkenaan kelihatan masih lagi panjang buat kumpulan yang kini dianggotai empat pemuda itu. Bukan sekadar melebarkan sayap di negara sendiri, malah kumpulan ini turut mendapat tempat di kalangan peminat irama nasyid antarabangsa. Dari Asia ke Eropah, Timur Tengah ke Afrika, mereka menjelajah hampir serata dunia untuk menyebarkan mesej keagamaan, kemanusiaan dan keamanan, menerusi irama nasyid yang utuh dipertahankan.


Raihan sendiri aktif menerbitkan album dan pada 15 Mac lalu, album ke-10 mereka sudah mula menjengah pasaran. Berbeza dengan penghasilan terdahulu, kini Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim, Amran Ibrahim dan Zulfadli Mustaza (Afad) muncul bersama album yang memuatkan lima lagu saja.


Begitupun, album yang diberi judul Musafir Perjuangan ini nyata begitu bermakna buat keempat-empat anggotanya. Bukan sekadar menyaksikan kesemua anggota tampil sebagai penyanyi utama, malah beberapa lagu yang dimuatkan turut membawa makna cukup mendalam buat mereka.


"Lagu Nun Di Sana umpamanya begitu meninggalkan kesan di hati kami kerana ia pernah dinyanyikan oleh Ustaz Asri (Ibrahim) daripada kumpulan Rabbani. Lalu, kami merakamkannya semula sebagai dedikasi buat penyanyi nasyid terbabit yang kami anggap bukan saja sebagai sahabat, malah pendakwah yang cukup dihormati.


"Manakala lagu Allah Is Calling pula kami tujukan buat arwah Azhari Ahmad yang juga pernah menganggotai kumpulan ini, serta bekas anggota kumpulan Hijjaz, arwah Salleh Ramli. Kedua-duanya menjadi inspirasi buat kami terus menyuburkan rasa kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya. Hanya Allah yang mampu membalas jasa dan kebaikan mereka. Kami yang masih hidup pula meneruskan semangat yang pernah dibawa oleh mereka," kata Che Amran.



Sambungnya, Allah Is Calling yang pernah dinyanyikan Azhari dan Salleh kini dirakam menggunakan susunan muzik baru, yang lebih bercorak gelap.


Dia berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan replika cek tajaan bernilai RM150,000 oleh Empire Classic Furniture kepada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009.


Cek berkenaan disampaikan Pengarahnya, Tan Lian Chai, kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2009 yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah.


Turut hadir pada majlis yang diadakan di galeri perabot syarikat terbabit di Damansara Heights, Kuala Lumpur itu ialah duta Empire Classic Furniture, Anita Sarawak; dan calon Top 5 kategori Penyanyi Wanita Popular ABPBH 2009, Jaclyn Victor.


Turut dirakam kembali ialah lagu ciptaan Yusuf Islam (Cat Stevens) berjudul God Is The Light. Lagu itu pernah dinyanyikan bersama penyanyi antarabangsa berkenaan dalam album kedua kumpulan itu, Syukur. Kali ini, ia dinyanyikan Raihan secara sendirian.


Dua lagi lagu yang turut terpilih untuk dimasukkan dalam album finalis kategori Artis Nasyid Popular ABPBH 2009 itu ialah Musafir Kelana dan Tanpa Agama.


Musafir Kelana turut meninggalkan kesan tersendiri kepada kumpulan yang aktif sejak 1996 ini kerana ia muncul album pertama yang dihasilkan menerusi projek kerjasama HPA Raihan. Diterbitkan Raihan Records, album ini diedarkan Warner Music Malaysia dan Wahyu Suci.


"Awal tahun ini, Raihan mengadakan kerjasama bersama HPA Industries Sdn Bhd, sebuah syarikat yang antara lain mengeluarkan produk makanan dan minuman halal terkemuka.


"Daripada kerjasama itu, maka tertubuh HPA Raihan dan album Musafir Kelana ialah produk pertama dihasilkan menerusi label itu. Ia menjadi syarikat induk yang mengawal kesemua aktiviti dan produk Raihan," ujar Che Amran sambil memberitahu, peminat yang mendapatkan album itu layak menerima potongan 10 peratus apabila membeli minyak wangi Raihan Fragrance di semua kaunter HPA.


Menurut pemuda ini, sempena kelahiran album terbabit, Raihan merancang sebuah konsert khas untuk peminatnya, berjudul Malam Satu Mimpi. Namun begitu, belum ada tarikh yang pasti diperoleh kumpulan ini, dek kesibukan mereka bergerak ke serata tempat menerima pelbagai undangan mengadakan persembahan.


Indonesia menjadi persinggahan seterusnya buat kumpulan ini apabila pada awal April, Raihan akan terbang ke Jakarta, manakala pada hujung bulan sama, mereka diundang ke kota Semarang pula. Pada penghujung Mei, keempat-empat pemuda ini dijadualkan terbang ke Perth, Australia, bagi menjayakan persembahan sempena sebuah festival di sana.


Pada pertengahan Jun, kumpulan ini akan mengembara ke London, bagi menyertai festival muzik dunia dikenali sebagai Meltdown Festival, yang bakal berlangsung di Southbank Centre. Mereka ke sana atas undangan pereka festival kali ini, Richard Thompson, yang juga pemain gitar British terkemuka.


Julai nanti, mereka sekali lagi terbang ke Australia bagi menjayakan siri persembahan Sounds Of Light di Melbourne, Sydney dan Brisbane.

Monday, March 22, 2010

RAIHAN & HPA - Musafir Perjuangan

Alhamdulillah... puji dan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya, Raihan sekali lagi berjaya menghasilkan album ke-10 setelah 14 tahun berjuang dalam menyebarkan syiar Islam melalui nasyid. Pada 17 Mac 2010 lalu, bertempat di Hotel De Palma, Ampang. Album yang diberi nama "Musafir Perjuangan" ini selamat dilancarkan dan istimewanya kali ini Raihan telah bergabung dengan syarikat halal yang paling berjaya di Malaysia iaitu Syarikat HPA.


Sesungguhnya, album ini amat istimewa bagi kami walaupun hanya menampilkan 5 buah lagu tetapi ia penuh dengan mesej-mesej ke arah kebaikan dunia dan akhirat. Lagu-lagu pilihan kami kali ini sememangnya sudah lama sebati dengan pendengar setia nasyid dari generasi ke generasi. Kita pernah dihidangkandengan lagu-lagu ini dan pastinya kita semua akan terimbau kembali bersama nostalgia irama nasyid yang menyentuh jiwa.Apa yang paling terkesan di hati kami dengan pembikinan album ini ialah pemilihan 2 buah lagu yang ada kaitan dengan penasyid yang telah mendahului kita kembali ke rahmatullah. Kami dedikasikan lagu "Nun Di Sana" nyanyian asal Allahyarham Ustaz Asri - Rabbani kepada beliau di atas ketulusan memperjuang dan memartabatkan irama nasyid tanah air. Beliau, kami anggap sebagai murabbi dan sahabat yang tiada tolok gantinya. Manakala lagu "Allah Is Calling" pula kami dedikasikan kepada penyanyi asalnya iaitu Allahyarham Azhari Ahmad - Raihan dan Allahyarham Salleh Ramli - Hijjaz. Mereka adalah sahabat yang telah menjadi inspirasi dan tonggak dalam menyuburkan rasa kecintaan kepada Allah dan Rasulnya. Hanya Allah sahaja yang layak membalas jasa dan kebaikan mereka semua. Kami yang masih diberi peluang ini, akan cuba meneruskan semangat yang telah dibawa oleh mereka semua. Mudah-mudahan Allah menempatkan roh mereka bersama dengan orang-orang yang soleh... Amin... Ya Rabbal ' Alamin...


Setelah menempuh pelbagai ujian dan rintangan juga susah senang kami harungi, namun dengan izinNya kami terus mempertahankan Raihan. Kami yakin suatu hari nanti bantuan Allah akan tiba jua berkat kesabaran, niat yang betul dan tidak lari dari perjuangan apabila diuji. Kami akan terus ber MUSAFIR dam PERJUANGAN ini bersama doa anda semua.




Terima kasih kami ucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sehingga terbitnya album ini terutama warga kerja Raihan, Hj. Mubbin, Azira, Hj. Sha'aban, Platinum Studio-Choy, G dan Greenbox Studio-Ayie. Kami juga merakamkan ucapan penghargaan buat Pengarah Urusan HPA, Tuan Hj. Ismail Ahmad dan keluarga, En. Mohd. Faisol Abd. Rahman, Ahli Lembaga Pengarah, Pengurus HPA Raihan - En. Naim, kakitangan dan semua warga HPA.


Selain album, HPA Raihan turut mengeluarkan produk "RAIHAN Fragrance" yang merupakan produk minyak wangi untuk lelaki dan wanita yang sudah pastinya halal dan selamat untuk digunakan oleh seluruh umat Islam tanpa was-was. Produk ini boleh didapati semua cawangan HPA di seluruh Malaysia.


Gambar-gambar pelancaran RAIHAN Fragrance.Sumber: HPA Industries


Sumber: HPA Industries
RAIHAN FRIENDS © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates