Wednesday, September 16, 2009

Raihan beraya di London

Sumber:
Harian Metro
Penulis: Elrafaei Sapi

ahmadelrafaei@hmetro.com.my


Hakikatnya, Raihan yang kini diterajui empat anggota iaitu Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim, Zulfadli Mustaza dan Amran Ibrahim mempunyai ramai peminat bukan hanya di negara ini malah merangkumi seluruh dunia.

Buktinya ketika mengadakan persembahan di luar negara, mereka meraih sambutan menggalakkan daripada peminat yang hadir.

Raihan yang popular menerusi lagu seperti Puji Pujian dan Allahu mencatat sejarah tersendiri dalam karier seni mereka dengan mengadakan persembahan jelajah di pelbagai lokasi di luar negara.

Antara destinasi yang pernah dikunjungi adalah Singapura, Indonesia, Thailand, Russia, Trinidad & Tobago, Kanada, Cape Town, Johannesburg, Manchester dan Glasgow.

Menyambung perjuangan dakwah menerusi muzik, Raihan sekali ini meraih kesempatan untuk mengadakan Konsert EID Celebration di Leicester Hall, London pada 24 September ini.

Sebelum ini, Raihan pernah membuat persembahan di Royal Albert Hall, London pada Mac tahun lalu.

Menariknya, persembahan selama tiga malam berturut-turut ini berlangsung ketika Aidilfitri disambut umat Islam di seluruh dunia. Ini bermakna, Raihan bukan hanya mengadakan persembahan bersama peminat tetapi turut beraya di sana. Berbanding konsert yang pernah diadakan, kali ini Raihan bertuah kerana mendapat kerjasama AirAsia sebagai penajaan penerbangan rasmi.

Abu Bakar berkata Raihan berkeyakinan mengadakan persembahan kali ini berdasarkan sambutan ketika di Royal Albert Hall pada tahun lalu yang berjaya menarik perhatian lebih 5,000 penonton. Atas sambutan positif itu, Raihan mahu meneruskan usaha mereka untuk berhibur bersama peminat di sana.

“Peminat meminati Raihan daripada aspek kelainan muzik yang ditampilkan. Walaupun banyak kumpulan nasyid ditubuhkan tetapi Raihan tetap menampilkan keunikan seperti penggunaan alat muzik rebana dan kompang.


“Namun, saya tidak faham mengapa segelintir berpandangan muzik kami bukan dari Malaysia. Secara jujur, kami masih berbangga untuk membawa lagu bahasa Malaysia ke luar negara.

“Menariknya, ketika mengadakan persembahan di luar negara, ada peminat yang menghafal lagu bahasa Malaysia walaupun mereka tidak faham. Ini membuktikan peminat kami menerima muzik yang kami perjuangkan dan ia turut menjadi panduan pada kumpulan nasyid lain,” katanya.

Che Amran pula berkata Raihan mendapat peluang mengadakan persembahan di luar negara atas permintaan peminat di sana. Lalu, tidak timbul soal mereka hanya sibuk di luar negara sebaliknya sepi di negara sendiri.

Wakil AirAsia, Edd Razhe berkata hasrat syarikat penerbangan tambang murah itu menaja konsert Raihan ini atas dasar sokongan pada persada muzik tempatan.

Menerusi pencapaian Raihan yang sering meraih sambutan menggalakkan daripada peminat di luar negara, AirAsia juga berkeyakinan konsert kali ini berjaya.

“Kerjasama ini berlaku secara kebetulan apabila Che Amran menghantar idea kepada AirAsia untuk menjadi penaja konsert mereka kali ini. Menerusi pembabitan AirAsia ini, ia menjadi sejarah penajaan pertama kami untuk konsert artis di luar negara.

“Sebanyak RM300,000 dibelanjakan untuk kos pengangkutan membawa peralatan konsert termasuk 15 tiket untuk mereka. Bagi AirAsia, kerjasama ini membawa konsep menang-menang apabila kami juga mahu mempromosikan penerbangan ke London.

“Apa yang kami harapan, syarikat korporat lain sepatutnya tampil bekerjasama menjadi penaja untuk konsert artis tempatan ke luar negara. Saya sendiri terkilan mengapa syarikat korporat kurang membantu artis tempatan kita."

“AirAsia sendiri ada rancangan untuk mengadakan satu konsert artis tempatan di Los Angeles. Ia akan dibincangkan bersama pihak di sana nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Raihan melancarkan single, Salam Aidilfitri Ayahanda Dan Bonda duet bersama kumpulan Hujan. Pada majlis pelancaran itu diadakan di Kelana Sentral, Kelana Jaya Selangor baru-baru ini, Raihan turut menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) untuk aspek pemasaran album Raihan bersama Metadome. Raihan diwakili pengurus, Mubin Abd Latif manakala Metadome, Pengarah Urusan, Ferhard Ahmad.



0 comments:

Post a Comment

RAIHAN FRIENDS © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates