Monday, September 14, 2009

RAIHAN Bersama AIRASIA Di Konsert “EID CELEBRATION" Di London

Raihan seperti yang kita ketahui sering mendapat undangan persembahan di luar Negara sepanjang tahun. Kali ini kita mendapat perkhabaran gembira lagi buat artis tempatan dari Malaysia mengharumkan nama Negara di persada antarabangsa. Raihan sekali lagi akan berangkat ke kota London untuk ke sekian kalinya dalam menjayakan persembahan sempena perayaan Aidilfitri bersama masyarakat Islam Britain. Kali terakhir mereka mengunjungi London ialah pada Mac 2008 sempena persembahan bersejarah di Royal Albert Hall, London. Jika diimbau kembali persembahan tersebut , mereka telah mendapat penajaan penuh dari sebuah organisasi yang terkenal dengan aktiviti amal iaitu Islamic Relief. Apa yang jelas ialah kehadiran mereka ke sana bukan atas jemputan rakyat Malaysia di luar Negara.

Pada tahun ini, iaitu pada 23hb September kumpulan nasyid tersohor di serata dunia itu akan mengunjungi kota London dengan penajaan sepenuhnya dari Leicester Centre. Ini membuktikan bahawa Raihan telah mendapat kepercayaan sepenuhnya dari pihak luar di atas komitmen mereka menerajui irama nasyid kontemporari dunia.


Raihan akan berlepas ke London pada 23hb dan akan pulang pada 28hb September 2009. Apa yang istimewa kali ini ialah buat kali pertamanya mereka mendapat kerjasama daripada AirAsia selaku penerbangan rasmi mereka bersama dengan krew-krew yang lain. Selain Raihan, seramai 10 orang ahli muzik, wakil media dan wakil syarikat AirAsia akan mengiringi mereka semasa berada di sana selama 6 hari. Keseluruhan rombongan berjumlah 15 orang semuanya. Bagi AirAsia, Raihan telah membuktikan keupayan mereka mendominasi irama nasyid seantero dunia dengan pencapaian yang tidak boleh disangkal lagi. Mereka telah menjelajah ke seluruh 6 benua iaitu Asia, Eropah, Afrika, Amerika Utara dan Selatan dan Australia. Ini juga satu kebanggaan bagi Malaysia yang ingin dikongsi oleh syarikat penerbangan terbaik dunia itu. Secara tidak langsung kedua-dua jenama ini telah mengharumkan nama negara di luar Negara.

Seperti yang dijadualkan, Raihan akan mengadakan persembahan di Leciester Hall selama 3 malam berturut-turut. Antara lagu-lagu yang bakal dibawa oleh Raihan termasuklah lagu –lagu dari pelbagai bahasa seperti Assolatuwassalam, Asmaul Husna, Thank You Allah, Allahu, Puji-pujian/Syukur, Your Face Is Bright, Rakan Selawat dan lain-lain lagi.

Walaupun keadaan ekonomi dan penularan wabak penyakit, pihak penganjur tetap yakin dengan mempertaruhkan Raihan sebagai tarikan utama demi menjayakan perayaan ini. Untuk maklumat lanjut boleh layari www.leicestercentre.co.uk.

0 comments:

Post a Comment

RAIHAN FRIENDS © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates